Rangkaian Sosial dan Enjin Carian Tempatan

Saya mengambil peluang ini untuk menulis mengenai pentingnya untuk kita, sebagai rakyat Malaysia hari ini untuk mempunyai laman rangkaian sosial sendiri serta laman enjin pencari yang dibina oleh orang tempatan untuk kegunaan rakyat tempatan. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berbilang kaum, serta handal-hebat dalam semua aspek melalui pertuturan yang biasa kita dengar dalam kelompok masyarakat hari ini, mari kita sama-sama mencurahkan tenaga dan masa untuk membina laman teknologi milik kita sendiri bagi membuktikan kita mampu untuk berdiri diatas tapak kaki sendiri.

1. Seperti yang kita semua sedia maklum, Google dan Facebook merupakan laman web utama dunia masa kini yang dikunjungi oleh setiap manusia setiap masa.

2. Google merupakan enjin pencari utama dan Facebook merupakan laman rangkaian sosial utama. Adalah menjadi satu ketinggalan jika tidak mempunyai akaun Facebook masa kini.

3. Seperti yang kita sedia maklum, kita menggunakan Google untuk mencari maklumat, apa saja maklumat, dari kertas jawapan peperiksaan hingga ke hiburan masa kini. Tidak terkecuali bahan-bahan untuk memenuhi tuntutan nafsu. Kesemua ini boleh dicapai bukan saja dengan hujung jari, malahan secara percuma dan terbuka sekaligus. Dalam erti kata lain, Google merupakan satu simpanan memori bagi setiap kegiatan manusia - samada dalam bentuk ilmiah, blog, mahupun ingatan carian.

4. Facebook merupakan cara terkini berinteraksi. Jika dulu seorang isteri meminta suaminya membelikan gula dengan menggunakan telefon, kini hanya perlu menulis permintaan itu di Facebook suaminya. Begitu juga dengan peringatan untuk tarikh lahir dan jemputan perkahwinan, kini semuanya melalui laman Facebook. Ini tidak termasuk aksi pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta, setiap minit menaikkan mood bercinta untuk tatapan umum sepanjang masa.

5. Dalam erti kata lain, teknologi kini sudah menjadi sebahagian dari kehidupan yang kita tidak mampu untuk pisahkan.

Namun disebalik manfaat teknologi ini, pernahkah kita terfikir apa yang sebenarnya kita telah berikan untuk kita gunakan? Walaupun ianya nampak percuma, hakikatnya ia tidak. Pasti yang ramai tahu, Google dan Facebook menjana kewangannya melalui periklanan. Justeru itu, walaupun ianya percuma, tetapi ianya tidak sebenarnya percuma kerana kita merupakan pengguna yang mengerakkan aliran kewangan mereka. Setiap saat kita menggunakan perkhidmatan Google dan Facebook, setiap saat itu kita menjana kewangan mereka dengan paparan iklan ditepi halaman web ini.

Periklanan bukanlah sesuatu yang gelap disini, ingin saya nyatakan bahawa periklanan yang digunakan oleh Google dan Facebook tidak menjejaskan langsung keseluruhan aktiviti saya dilaman web mereka. Malah saya juga menggunakan iklan untuk menjana sedikit pendapatan secara peribadi.

Tetapi, hanya segelintir dari kita terutamanya rakyat Malaysia, kurang mengetahui bahawasanya kita telah 'menjual' corak kehidupan seharian kita tanpa kita sedari. Pada tahun 2008, saya ada membuat ujikaji tentang bagaimana Google berfungsi dan hasilnya, walaupun ianya sangat memberangsangkan, tetapi ia juga, untuk pertama kali, membuatkan saya takut dengan teknologi.

Dalam erti kata lain, kita telah dijajah dengan kerelaan sendiri.

1. Seperti mana yang kita tahu, kini kita berkongsi gambar, dokumen dan lokasi dengan menggunakan servis seperti Facebook album, Picasa, Flikr, Foursquare dan Twitter. Secara ringkas, data-data ini diberikan oleh pengguna secara sukarela. Pernahkah kita terfikir, dimana data ini disimpan dan siapa yang mempunyai akses keatas data-data ini? Untuk makluman, data-data ini takkan dibuang begitu saja. Malah data ini dijaga dengan baik dengan teknologi storage seperti RAID dan ZFS.

2. Jika kita berfikiran sebagai seorang individu, mungkin kita akan berasa tidak mengapa bagi mereka untuk menyimpan data-data ini. Tetapi hakikat yang nyata, individu yang berfikiran sebegini merupakan salah seorang daripada berjuta pengguna laman web ini. Dan apabila data-data individu ini digabungkan, secara rawak kita akan mendapat satu corak mengenai aktiviti harian yang dilakukan oleh masyarakat kita dinegara ini.

3. Kita boleh menafikan dengan berkomunikasi menggunakan bahasa ibunda, tapi hakikat yang nyata, Google mampu untuk memahami lebih banyak bahasa dari setiap individu dinegara ini mampu untuk bertutur. Sedangkan mereka berkomunikasi dalam bahasa inggeris dikatakan tidak membanggakan bahasa melayu, apakah kita masih lagi mempunyai alasan untuk berbuat demikian semata-mata kekurangan kita gagal untuk memahami bahasa asing itu sendiri?

4. Berkata tidak terhadap penggunaan teknologi bagi mengelakkan aliran data kita keluar merupakan langkah yang kurang bijak diambil oleh golongan yang tidak mahu berusaha. Adakah kita masih lagi kekurangan pengetahuan dan tenaga untuk membuat enjin pencari dan laman rangkaian social kita sendiri ataupun kita hanya mahu mengambil jalan yang mudah dan biarkan keadaan berlalu begitu saja memandangkan kita tidak mampu untuk membina semua itu? Adakah Sijil, Diploma dan Ijazah yang kita perolehi hanya sekadar untuk meluluskan kita untuk mendapat kerja tetap dibawah kerajaan?

5. Kita melaungkan bahawa kita sudah maju, namun begitu kita masih lagi bangga dengan mencari pekerjaan sedangkan mereka yang benar-benar sudah maju tanpa perlu melaungkan kemajuan mereka, begitu gigih untuk mewujudkan pekerjaan mereka sendiri. Kemungkinan faktor ekonomi dan tanggungjawab keluarga boleh dijadikan alasan, namun begitu seandainya satu komuniti golongan professional i.t dibentuk dan dibangunkan untuk membina teknologi khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia bersama, kemungkinan kita mampu untuk membuat satu pembaharuan, secara positif dan inovatif untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

Ingin saya jelaskan disini bahawa saya tidak mempunyai sebarang keinginan untuk mewujudkan sesuatu yang bersifat anti-globalisasi, tapi ada bagusnya sesuatu yang kita gunakan setiap hari untuk berkomunikasi secara terbuka mahupun secara peribadi, dibangunkan dan dikawal oleh rakyat kita sendiri.. Saya merupakan seorang pengaturcara bebas dan saya berkemampuan untuk memahami sesuatu sistem dan fungsinya sebelum saya menulis kenyataan ini. Justeru itu, seandainya anda ingin meninggalkan sesuatu pendapat, pastikan pendapat anda sesuatu yang boleh kita bualkan dan kongsikan bersama secara positif.

Jurang teknologi kini kian berkurangan. Tiada lagi alasan kita kekurangan tenaga kerja dan kemahiran kerana sumber pengetahuan kini hanya tinggal dihujung jari, hanya menunggu arahan dari diri kita. Sampai bila kita mahu berada ditakuk pengguna, sedangkan kini segala keperluan untuk membina, sudah ada didepan mata?

Salam hormat dari saya. Semoga penulisan ini dapat dibaca, dihayati dan dikongsikan bersama.

Note : Old post of mine back in 2011.

Posted February 6, 2013

Tweet this